Jamal 'Tukul' Zaid | Edisi MG #PAU2017

2019-04-23 0

Selepas gimik membakar mock up Datuk Zaid Ibrahim, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini pula membawa tukul besar memukul ‘pemimpin’ itu di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Tindakan agresif Jamal itu kerana beliau berang dengan kenyataan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang didakwa mengguris perasaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta seluruh rakyat negeri itu.

“Kami mempertikaikan setelah beberapa hari Sultan Selangor murka terhadap kenyataan Zaid Ibrahim.

“Sultan Selangor hanya memberi pandangan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad tapi, beliau menyampuk malah mengguris perasaan tuanku,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan PWTC, di sini, hari ini.

Rabu lalu, Jamal selaku Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Dang Wangi terhadap Zaid di laman sosial menegur Sultan Selangor supaya berhati-hati dengan kata-kata baginda.

Jamal menukul ‘Zaid’ yang tertera perkataan ‘pengkhianat, kurang ajar, biadab’ sambil mengusung mork-up pemimpin DAP itu di sekitar PWTC sambil meminta ahli serta perwakilan UMNO ‘memukul’ gambar itu.

Jamal juga berkata, walaupun Sultan Selangor sudah murka dengan kebiadapan Zaid, namun pihak berkuasa masih tidak mengambil sebarang tindakan sama ada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mahupun Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

“Mana dia PDRM, mana dia SKMM, kenapa lambat bertindak, kenapa double standard, kalau saya yang cakap, hari ini saya cakap, sebelah malam saya kena tangkap.

“Sudah berapa hari sampai bila kami nak tunggu. Saya beri amaran jangan sampai tukul yang akan bertindak melampaui undang-undang,” tegasnya.

Beliau juga kesal apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan barisan Exconya masih berdiam diri dan tidak mengutuk kebiadapan Zaid itu.

“Mana dia Azmin Ali…mana Exco Selangor…kenapa masih membisu sampai sekarang? Kenapa pula sampai Sultan Selangor kena membidas, sepatutnya baginda tak perlu membidas.

“Ini kerana hulubalangnya, menteri besar pengecut. Sebab itu apabila Sultan Selangor dihina, dikeji, mana dia Exco, mana Azmin Ali? Sepatutnya menteri besar yang mempertahankan tuanku,” katanya lagi.

MalaysiaGazette.com - Online News / Portal - Follow US Now! Or visit www.malaysiagazette.com for the latest news on politics, economy, fashion, travel, lifestyle and more www.malaysiagazette.com